"Tuntutlah Ilmu Dunia Seolah-Olah Untuk Kamu Hidup Seribu Tahun Dan Tuntutlah Ilmu Akhirat Seolah-Olah Untuk Kamu Mati Esok Hari"
Dengan ini, nyatalah kita disuruh menuntut ilmu pengetahuan dengan seluas-luasnya, bukan setakat tahu membaca dan menulis sahaja. Semakin banyak ilmu pengetahuan yang dituntut, semakin teranglah "Cahaya" kehidupan kita di masa hadapan. Dengan ilmu yang menebal di dada kita akan dipandang mulia bukan sahaja di sisi manusia malah Allah akan memuliakan kita dengan memayungi rahmat yang tidak terhingga banyaknya.
Walau apa keadaan sekalipun, ilmu yang meliputi diri dan jiwa akan menjadi pembimbing kearah kecemerlangan kita sebagai seorang yang mampu bersaing dengan individu-individu yang lain. Walau banyak mana sekalipun harta yang kita miliki, kita terpaksa menjaga harta berkenaan, daripada dicuri, dirosakkan atau dimusnahkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Walhal jika kita mempunyai ilmu yang banyak maka ilmu itulah yang bakal menjaga kita kearah kecemerlangan yang lebih menyeluruh.
Dalam zaman yang serba maju ini, negara kita memerlukan orang-orang yang terpelajar dan dengan sebab itulah banyak sekolah-sekolah, kolej-kolej dan universiti-universiti dibina untuk memenuhi keperluan rakyat yang dahagakan ilmu pengetahuan. Dengan adanya ilmu pengetahuan yang tinggi maka dapatlah kita berbakti kepada agama, bangsa dan negara kita. "The foundation of every state is the education of its youth" Kata-kata hikmat ini ialah sumbangan dari Diogenes dan maksudnya ialah "Asas bagi tiap-tiap negara ialah pelajaran belia-belianya", Sekiranya belia-belia di negara ini tidak mempunyai pelajaran yang secukupnya, sudah tentulah mereka tidak layak memegang jawatan-jawatan yang memerlukan kelulusan tinggi untuk memajukan sesebuah negara itu.
Ibu bapa pula meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan semoga anak-anak mereka dapat mengecapi hidup yang bahagia, sempurna dan mewah di masa hadapan. Mereka sedar betapa pentingnya pelajaran untuk menjamin kehidupan yang cemerlang bagi anak-anak mereka supaya apabila anak-anak ini dewasa kelak, mereka akan menjadi seorang yang berguna dan terpelajar. Segala kurniaan Allah, pemberian kerajaan dan pengorbanan ibu bapa untuk anak itu tidaklah mengharapkan sebarang balasan dari mereka. Semuanya ini adalah untuk anak itu sendiri. Maka dengan itu berusahalah supaya harapan yang diberi tidak dikecewakan.
Tuhan pasti mengkabulkan segala doa dan cita-cita anda yang baik asalkan anda, berusaha dengan tekun dan sabar. Dalam mencapai segala cita-cita itu, kita akan merasai kepahitan pada permulaannya. Namun pada penghujungnya ada kemanisan yang kekal menjadi ingatan untuk kita kenang selama-lamanya selagi hayat dikandung badan. Ingatlah kita ciptakan kejayaan kita sendiri tanpa mengenal penat dan rasa jemu, ini kerana kemanisan itu merupakan sejarah untuk kita tatapi di kemudian hari. Anggaplah kepahitan ini sebagai ubat untuk menyembuhkan penyakit. Mengapa kita tidak sanggup merasakan kepahitan untuk hidup berbahagia di masa hadapan. Fikir-fikirkanlah...
Seorang ahli falsafah Greek yang terkenal bernama Aristotle, beliau disanjung tinggi oleh bangsanya dan juga bangsa-bangsa lain di dunia ini. Sebelum beliau menjadi seorang yang terpelajar, beliau juga mengalami kepayahan dalam menuntut ilmu seperti apa yang dihadapi kita kini. Dalam falsafahnya yang berbunyi :
"The roots of education are bitter, but. the fruit is sweet"
Terjemahan dari kata-kata Aristotle di atas tadi bermaksud "Akar bagi pelajaran memang pahit, tetapi buahnya manis". Bukan anda seorang sahaja yang mengalami kesusahan semasa belajar, tetapi semua orang di dunia ini terpaksa mengalaminya kerana mendapatkan pelajaran bukanlah seperti membeli buah di pasar...TETAPI untuk menikmati kemanisan “Buah Pelajaran” kita terpaksa menanam pokoknya terlebih dahulu.
Pendapat yang sama telah disuarakan oleh pujangga Inggeris bernama John Milton:
"The right path of a virtuous and noble Education, laborous indeed at first ascent, but else so smooth, so green , so full of goodly prospect, and melodious sound on every side, that the harp of Orpheus was not more charming".
Maksud John Milton begini: "Jalan sebenar kearah pelajaran yang baik dan mulia, memang sukar untuk didaki pada mulanya tetapi kemudiannya sangat rata, sangat hijau, penuh dengan harapan baik, dan suara merdu di setiap penjuru, hinggakan muzik yang dipersembahkan oleh Orpheus tidak sebegitu mengasyikan".
Semua kata-kata hikmat yang bernilai itu patutlah dijadikan cermin hidup. Bangsa Melayu juga tidak ketinggalan menyumbangkan pantun yang tinggi nilainya.
Berakit-rakit ke hulu,
Berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu,
Bersenang-senang kemudian.
Untuk merasai sesuatu yang bahagia itu seseorang perlulah menempuh pelbagai dugaan dan cabaran. Inilah dinamakan asam garam kehidupan. Jika kita merasai manisnya dahulu maka kesusahan bakal diundang pada masa-masa mendatang. Justeru itu haruslah kita ingat bahawa, tanggungjawab kita di muka bumi ini adalah sebagai Khalifah yang mana untuk mentadbir alam kearah kesejahteraan yang hakiki. Jika kita berjaya dengan hasil usaha yang susah kita akan lebih menghargainya berbanding dengan kejayaan yang dizahirkan dengan sekelip mata sahaja tanpa bersusah payah. Hakikat ini mungkin terpaksa kita tempuhi jika kita hanya mahu merasai hanya keseronokkan sahaja berbanding kesusahan.
Wabillahil hidayah wat taufiq. Wassalamualaikum w.b.t.
BARAKALLAHUFIKUM
Yang dhaif,
Ikhlas dari saya.
Muhamad Fazil bin Haji Ahmad
(B.A. (Hons), M.A. Hsc. Communication UIAM)
No comments:
Post a Comment